Kemelut rumah tangga pempengaruh sensasi, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid atau lebih dikenali sebagai Aslam dan isterinya, Marissa Dania Hakim, akhirnya menemui titik noktah apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan mereka bukan lagi pasangan suami isteri.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Syarie, Nadiah Khamis selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang berlangsung hari ini.
Teruskan MembacaMenurut peguam syarie yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, mahkamah memutuskan bahawa lafaz talak yang dibuat sebelum ini adalah sah dan menyebabkan perkahwinan pasangan tersebut terbubar.
“Secara ringkasnya, mahkamah memutuskan talak itu jatuh dan kedua-dua pihak tidak lagi bergelar suami isteri.
“Sekiranya mereka ingin kembali bersama, mereka perlu melalui proses akad nikah yang baharu,” katanya kepada media selepas prosiding.
Terdahulu, Aslam, 27, dan Marissa, 21, hadir ke mahkamah secara berasingan. Kehadiran mereka turut menjadi perhatian media dan orang ramai.
Marissa dilihat agak sebak namun memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai keputusan tersebut. Sementara itu, Aslam memaklumkan bahawa mereka sudah tidak lagi tinggal bersama.
Dalam masa yang sama, peguam mereka berkata kedua-duanya menerima keputusan mahkamah dengan baik dan menunjukkan sikap terbuka terhadap apa yang telah diputuskan.
“Mereka nampak reda dengan keputusan hari ini. Apa yang penting adalah mematuhi undang-undang dan hukum syarak,” ujarnya.
Untuk rekod, Aslam memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu selepas beberapa episod perpisahan dan rujuk yang berlaku sejak tahun 2024.
Pasangan ini sebelum ini pernah dilaporkan bercerai dan rujuk sebanyak dua kali sebelum kembali berdepan kemelut rumah tangga yang akhirnya membawa kepada keputusan mahkamah hari ini.
Perkahwinan mereka turut menjadi perhatian ramai selepas dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada Disember 2023 ketika Aslam masih bergelar suami kepada pempengaruh Umisya Mazlan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
















