PETALING JAYA, 20 Julai 2025 – Pendakwah terkenal, Dato’ Dr. Danial Zainal Abidin tampil dengan kenyataan tegas apabila ditanya sama ada beliau masih menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi sebuah ceramah yang kini tular di media sosial, Dr. Danial berkata beliau tidak menyokong secara taksub, tetapi menyokong sesiapa sahaja yang berusaha melakukan kebaikan dan membawa kebenaran.
Teruskan Membaca“Saya tak masuk mana-mana parti politik. Tapi kalau pemimpin buat makruf, saya sokong. Kalau tak buat baik, saya tak sokong. Sokongan saya bersyarat.”
Namun, apa yang paling menarik perhatian adalah kenyataan beliau yang seolah-olah menyentuh mereka yang seronok melihat kejatuhan Anwar.
“Saya tidak doakan kejatuhan Anwar. Saya doakan kebaikan untuk beliau dan negara.”
Dr. Danial turut berkongsi beberapa pencapaian kerajaan di bawah kepimpinan Anwar yang menurutnya wajar diberi perhatian. Antaranya, kejayaan mengurangkan 66 peratus kemiskinan tegar setakat Oktober 2024, dan pencapaian sifar miskin tegar di empat negeri termasuk Melaka dan Pulau Pinang menjelang hujung tahun lalu.
“Di Sabah, lebih 90 peratus miskin tegar berjaya dikeluarkan daripada kategori itu. Itu bukan retorik. Itu usaha dan hasil.”
Selain itu, beliau juga menyebut prestasi ekonomi negara yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Defisit fiskal menurun kepada RM21 bilion berbanding RM26 bilion tahun lalu, dan nilai ringgit turut mengukuh kepada RM4.25 berbanding USD – lebih baik daripada beberapa mata wang negara jiran.
Mengulas mengenai pihak yang sering membangkitkan naratif kononnya ‘era Anwar hampir tamat’, Dr. Danial berkata mereka sepatutnya berfikir lebih jauh.
“Kalau Anwar jatuh, siapa ganti? Belum tentu lebih baik. Mungkin lebih teruk.”
Tambah beliau lagi, bukan semua benda boleh diselesaikan dalam masa singkat. Sebaliknya, rakyat wajar beri peluang kepada Anwar untuk menamatkan penggal dan menilai semula dengan adil selepas itu.















