Tan Sri Mahiaddin Yassin didakwa tidak mengutamakan rakyat ketika menjadi Perdana Menteri, sebaliknya sibuk membaik pulih Seri Perdana.
Perdana Menteri berkata, kos baik pulih kediaman Perdana Menteri yang sama seperti istana itu memakan kos sebanyak RM38 juta.
Teruskan Membaca“Sekarang diam, saya nak tanya ustaz dalam Pas, jawab saya antara orang tidak cukup makan, orang tidak ada kerja, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin, kamu pilih baik pulih rumah kamu kenapa…dan ini suruh anak muda ikut mereka.
“Kalau anak muda tidak faham lagi, jumpa saya…saya ajak pergi Seri Perdana tengok…ini kerja pun tidak, orang bagi RM100 kerja kamu maki orang tiap-tiap hari…buat apa kerja tidak ada,” katanya ketika ceramah Arus Merah Kuning di Kota Damansara, malam tadi.
Hadir sama dalam kempen itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan.
Anwar berkata, beliau sangat marah dengan tindakan baik pulih Seri Perdana kerana ketika itu ramai yang tengah susah.
Justeru, katanya rakyat perlu menilai orang bila mereka ada kuasa.
“Nilai dari segi kerja…bukan apa yang mereka pakai, berbaju Melayu, pakai tali leher, pakai kot, berkopiah atau berserban…bila ada kuasa cakap saja tetapi tindakan tidak serupa.
“Jangan cakap saja tetapi tidak buat, bila jadi kerajaan belasah ambil duit, ambil projek…lupakan rakyat yang susah,” katanya yang juga Presiden PKR.
Beliau juga menempelak tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melaungkan hidup Melayu dan menyatakan kerajaan tidak memperjuangkan hak orang Melayu dengan lebih memberikan lebih banyak kepada orang Cina.
Beliau menegaskan negara ini sememang terasnya orang dan budaya Melayu, bahasa Melayu bahasa rasmi dan perkara itu tiada tolak ansur.
“Saya lebih tegas dalam soal ini, sebab itu peruntukan untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan lebih banyak daripada yang diberikan Perikatan Nasional (PN) ketika mereka memerintah.
“Usah cakap banyak, peruntukan untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lebih banyak diberikan dan tetapi mereka tetap kata kerajaan tidak Islam,” katanya.
Pada masa yang sama, Anwar menegaskan beliau tidak akan memaafkan mereka yang mengambil duit rakyat, mengambil tanah dan mencuri balak.
“Secara terbuka saya nak kata, saya maafkan Tan Sri Rahim Noor yang pukul saya dan hina saya, saya maafkan media yang hari-hari muka depan kata Anwar ejen negara asing, terbabit skandal seks dan macam-macam lagi termasuk kata saya jadi alat orang Cina dan Yahudi…saya maafkan mereka.
“Tapi saya tidak mampu maafkan mereka yang mencuri duit rakyat, mengambil tanah negeri ini dan mencuri balak…saya mahu mereka disiasat sampai habis…,” katanya.
Anwar berkata, kerja menyiasat adalah badan penguat kuasa dan beliau mengarahkan mereka untuk menyiasat bukannya beliau sendiri yang menyiasat.
“Saya tidak mahu janji banyak, cuma kita cuba sedaya-upaya buat perubahan ke arah kebaikan,” katanya.