Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pendakwah supaya tidak terburu-buru dan mengikut sentimen politik dalam mengupas sesuatu perkara atau isu.
Anwar berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku apabila kenyataan berkaitan surah Al-Kahfi dan tujuh pemuda Ashabul Kahfi, yang disentuh beliau semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) minggu lepas telah disalah erti oleh seorang pendakwah.
Teruskan MembacaTanpa mendedahkan identiti pendakwah itu, Perdana Menteri berkata sebagai seorang ilmuan, mereka sepatutnya menyemak terlebih dahulu fakta sebelum membuat sebarang penjelasan kepada orang ramai.
“Bila ditanya (oleh sesesorang) kepada seorang ustaz di Terengganu, dia kupas (jawab soalan) tanpa mendengar (konteks sebenar ucapan saya) terus dia kata pemimpin besar ini jahil, keliru dan menyesatkan dan mengatakan orang-orang ini sebagai orang Kristian.
“Baca, dan dengar konteksnya dan kita sebagai seorang pendakwah jangan terburu-buru ikut sentimen politik. Ini masalahnya, kalau ikut sentimen betul (tidak mengapa) dari segi semangat agama.
“Pertama semak dulu kenyataan itu benar atau tidak, keduanya kalau tidak (benar)… boleh tegur saya, saya boleh betulkan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara yang turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Terdahulu Perdana Menteri yang tiba di masjid berkenaan pada 1.20 tengah hari disambut pihak pengurusan masjid dan jemaah.
Perdana Menteri bersama lebih 500 jemaah kemudian mendengar kutbah bertajuk “Jangan Mengundang Persengketaan” sebelum menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Mohamad Nor Salami Masri yang juga Pengurus Masjid berkenaan.
Sebelum ke masjid itu, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dan makan tengah hari bersama rakyat di gerai Nasi Ayam Warisan KD. – Bernama
Baca juga: