Menurut laporan Astro Awani, datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberi keterangan di Mahkamah Sesyen bahawa beliau yakin anak dan menantunya tidak terlibat dalam kes pengabaian atau pembunuhan cucunya yang merupakan seorang kanak-kanak autistik, dua tahun lalu.
Yakin Anak dan Menantu Tidak Bersalah
Zahari Mohd Reba, 57, berkata beliau percaya pasangan Ismanira dan Zaim ialah ibu bapa yang bertanggungjawab serta sentiasa menjaga kebajikan arwah anak mereka.
Teruskan Membaca“Saya yakin anak dan menantu saya tidak terlibat dalam kematian Zayn. Ismanira tidak bersalah. Kehilangan ini amat menyedihkan kami sekeluarga, lebih-lebih lagi apabila pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti siapa yang membunuh cucu saya,” katanya.
Kasih Sayang Tidak Berbelah Bagi
Tambah Zahari, hubungan antara Ismanira dan Zayn sangat rapat. Sekiranya pasangan itu tidak bekerja pada hujung minggu, mereka akan membawa Zayn ke rumahnya untuk meluangkan masa bersama keluarga. Zahari turut memaklumkan bahawa beliau terlibat dalam usaha mencari Zayn pada hari kejadian, manakala Ismanira telah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya.
Sebagai makluman, Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa di anak sungai kira-kira 20 meter dari kediamannya, pada jam 10 malam keesokan harinya.