PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini sedang menyiasat dakwaan melibatkan seorang anggota bomba bantuan yang dikaitkan dengan penularan video berunsur lucah di media sosial baru-baru ini.
Walaupun individu dalam video tersebut tidak memakai pakaian seragam rasmi bomba, pihak JBPM mengambil langkah menyiasat selepas beberapa hantaran lain di akaun media sosial milik individu itu menunjukkan dia pernah memakai uniform pasukan.
Teruskan MembacaMenurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, siasatan dalaman kini dijalankan oleh Unit Integriti jabatan bagi mengenal pasti identiti sebenar individu terbabit dan bagaimana video itu boleh tersebar.
“Walaupun tiada aduan rasmi diterima, JBPM sangat tegas dalam isu berkaitan integriti dan sentiasa pantau tingkah laku serta kandungan media sosial anggota kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan juga akan meneliti sama ada video tersebut dimuat naik secara sengaja oleh individu berkenaan atau disebarkan tanpa kebenaran oleh pihak lain.
Sekiranya terbukti individu tersebut adalah anggota bomba bantuan seperti yang didakwa, JBPM boleh mengambil tindakan seperti menggantung tugas serta-merta memandangkan anggota tersebut bukan dalam kategori perkhidmatan tetap.
JBPM turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan membiarkan proses siasatan berjalan secara telus dan profesional.
















