Banjir yang melanda beberapa minggu lalu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penduduk Kota Marudu.
Banyak rumah mengalami kerosakan teruk, dengan sebahagiannya hampir tidak boleh didiami. Keperluan harian juga semakin mendesak, memerlukan perhatian segera daripada pihak berwajib.
Teruskan MembacaMenyedari situasi ini, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, turun padang dalam program Ziarah Kasih Madani pada Selasa untuk meninjau sendiri keadaan mangsa banjir.
Tak sekadar datang melihat, beliau turut menghulurkan bantuan tunai dan barangan keperluan asas kepada penduduk yang masih bergelut untuk bangkit selepas bencana ini.
Simpati melihat keadaan rumah yang usang dan daif, saya turut meminta pasukan untuk mengumpul maklumat bagi membaik pulih atau membina rumah-rumah baru demi keselesaan mereka, katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kota Marudu mengalami banjir teruk akibat hujan lebat berterusan sejak 29 Januari. Banjir ini disifatkan oleh penduduk sebagai antara yang terburuk pernah berlaku, dengan paras air naik mendadak sehingga menyebabkan ramai tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.
Seramai 2,944 orang daripada 1,095 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau.