ang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada Adlina Aisyah Ahmad Rusli, balu kepada Allahyarham Idris Abdol Talib@Ramali yang merupakan salah seorang mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam kelmarin.
Sumbangan itu disampaikan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendi Zairakithnaini semalam di kediaman Adlina Aisyah di ibu negara.
Menurut Istana Negara, Adlina Aisyah pernah bertugas di Istana Negara dari 2011 hingga 2015 sebagai seorang Pegawai Pentadbir (Sumber Manusia).
“Dalam kunjungan ke kediamannya di Kuala Lumpur semalam, Datuk Azuan turut menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong kepada Puan Adlina Aisyah dan sekeluarga atas pemergian mengejut suami tersayang ke Rahmatullah.
“Seri Paduka berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar Puan Adlina Aisyah dan keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.
“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Allahyarham Idris merupakan pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa, namun bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.