Terkini

Kes lelaki maut dibunuh abang teman wanita, polis tahan 5 lagi

Polis menahan lima lagi individu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki maut ketika bergaduh dengan abang teman wanitanya di Sungai Choh, Rawang, pada Sabtu.

Tangkapan di tiga lokasi berbeza itu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita, semua berusia 19 hingga 35 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata seorang lelaki dan dua wanita ditahan di Desa Aman Puri, jam 4.40 petang semalam.

“Seorang lelaki ditahan jam 6.15 petang di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, manakala seorang lagi lelaki terakhir ditahan jam 11 malam di Sungai Choh,” katanya.

Beliau memaklumkan, semua yang ditahan itu direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, katanya, bedah siasat ke atas mayat mangsa yang selesai petang semalam, menemukan kesan cedera dan lebam pada kepala dan seluruh badan, namun punca kematian belum disahkan.

Noor Ariffin berkata, teman wanita mangsa tidak mempunyai kaitan dengan kes itu, namun dakwaan mengaitkan kejadian terbabit dengan video bogel wanita berkenaan sebagai motif kejadian masih dalam siasatan polis.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut dipercayai dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi oleh abang teman wanitanya kira-kira 11 pagi Sabtu, dikatakan akibat salah faham.

Mayat mangsa kemudian ditanam di kawasan semak di belakang rumah keluarga wanita itu di Sungai Choh.

Kes itu terbongkar selepas polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 27 tahun berjiran dengan keluarga suspek yang juga keluarga iparnya, pada jam 11.25 malam.

Susulan itu, polis telah menahan tiga beradik, iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 33 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan. – BERNAMA

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top