Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, hari ini.
Ia belanjawan kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Teruskan MembacaPembentangan belanjawan menyaksikan kerajaan mengumumkan langkah pembaharuan fiskal, mengukuhkan pengurusan dan mempelbagaikan sumber hasil di samping mengurangkan ketirisan serta mengoptimumkan perbelanjaan.
Selain itu, belanjawan mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan, sudah tentunya mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.
Belanjawan 2024 itu juga menyaksikan penyepaduan dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.
Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 yang dibentangkan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin depan, 16 Oktober, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Oktober.
Berdasarkan Takwim Persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan rang undang-undang itu di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November.