Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Kesatuan Eropah (EU) akan mengiktiraf
Palestin sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat.
Teruskan MembacaPendirian itu dinyatakan Anwar semasa pertemuan bersama Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo dan Presiden Majlis Kesatuan Eropah, António Costa dalam lawatan ke Belgium.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar sekali lagi menekankan kepentingan masyarakat antarabangsa, khususnya Kesatuan Eropah (EU), untuk mengiktiraf hak Palestin sebagai sebuah negara merdeka, selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Belgium, Luxembourg, dan EU, Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak, mengesahkan bahawa isu gencatan senjata di Palestin menjadi antara agenda utama dalam perbincangan antara Malaysia dan pemimpin Eropah.
“…perkembangan di Palestin merupakan salah satu topik perbincangan utama sepanjang lawatan ini,” katanya.
Malaysia Konsisten Sokong Palestin di Peringkat Global
Malaysia kekal sebagai antara negara yang lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin di pelbagai platform antarabangsa.
Sepanjang tahun lalu, Anwar telah menggunakan pentas antarabangsa seperti Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Peru, Sidang Kemuncak G20 di Brazil, serta Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh untuk menekan dunia agar mengiktiraf Palestin sebagai negara yang berdaulat serta mendesak pengguguran keanggotaan Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).