Terkini

KKM sedia hadapi ancaman penyakit X

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku pada masa depan berhubung pandemik baharu termasuk ancaman penyakit X dalam negara.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memberikan amaran kepada negara-negara sekiranya terdapat ancaman berkenaan.

“Ia dinamakan X kerana masih belum diketahui penyakit yang sebenar, namun kita sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia hadapi kemungkinan pandemik ini.

“Semasa saya menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, isu penyakit X ini tidak dibincangkan antara Menteri Kesihatan lain.

“Namun, di peringkat Malaysia, KKM sentiasa membuat pemantauan jika ada muncul penyakit-penyakit baharu seperti yang diperkatakan,”katanya.

Sebelum ini dilaporkan, pakar-pakar kesihatan awam memberi amaran mengenai sejenis wabak digelar Penyakit X yang berisiko menjadi pandemik dan mengancam nyawa berjuta-juta orang.

Ia digelar sebagai penyakit X oleh WHO dan dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa serta menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat setelah dunia berada pada situasi ‘tidak bersedia’ ketika menghadapi Covid-19 pada awal 2020. 

Pelbagai

Scroll to Top