Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura, menzahirkan pandangan tegas berhubung isu privasi serta adab masyarakat ketika berinteraksi dengan selebriti, terutamanya berkaitan tindakan merakam gambar atau video tanpa kebenaran.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Fazura, 41, memuji budaya masyarakat di Dubai yang menghormati ruang peribadi setiap individu tanpa mengira status. Beliau turut berkongsi kenyataan pelakon Hollywood, Lindsay Lohan, yang menyatakan bahawa merakam gambar secara rawak di Dubai adalah menyalahi undang-undang, dan memerlukan kebenaran individu yang dirakam.
Teruskan MembacaFazura menyarankan agar masyarakat Malaysia mencontohi budaya tersebut kerana ia bukan sahaja menjamin keselesaan, malah mencerminkan adab yang tinggi.
“Kita tak amalkan benda tu di sini. Tapi bukankah lebih baik kalau kita mulakan dengan adab, seperti memberi salam dan meminta izin untuk bergambar,” katanya sambil menambah, “Jangan kata gambar, kadang-kadang video pun dirakam tanpa izin.”
Perkongsian bintang filem Pisau Cukur itu mendapat sokongan ramai netizen yang bersetuju dengan seruannya agar masyarakat lebih beradab dan menghormati privasi individu, khususnya apabila melibatkan figura awam.