PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara kini sedang meneliti laporan awal siasatan kes kematian tragis Zara Qairina Mahathir, pelajar sekolah agama di Sabah yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama.
Teruskan MembacaDalam satu kenyataan rasmi hari ini, pihak jabatan memaklumkan bahawa mereka telah menerima dua laporan, satu daripada PDRM Sabah pada 3 Ogos, dan satu lagi dari Ibu Pejabat PDRM di Putrajaya pada 4 Ogos.
“Kami sedang teliti semua aspek undang-undang dan fakta berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Peguam Negara juga menegaskan, keputusan rasmi berkaitan kes ini hanya akan diumumkan selepas semua laporan selesai diteliti sepenuhnya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan proses keadilan yang sedang berjalan.
Kes Zara Qairina menarik perhatian ramai selepas kematiannya berlaku dalam keadaan mencurigakan dan kini diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi. Ramai pihak termasuk netizen dan NGO tampil mendesak agar siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Untuk rekod, kejadian berlaku di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, dan Zara dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pelajar.