PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tegas bersuara, wanita tak patut dilihat sebagai “kelas kedua” atau jadi bahan penghinaan dalam politik.
Teruskan MembacaKenyataan ini dibuat lepas seorang pemimpin PAS mengeluarkan sindiran yang kaitkan kepimpinan wanita dengan binatang ternakan, perbandingan yang beliau anggap jelas menghina dan merendahkan martabat wanita.
Lebih mengejutkan, katanya, kenyataan tu bukan saja tak ditarik balik, malah siap dipertahankan pula oleh seorang lagi pemimpin kanan parti berkenaan.
“Mereka kata itu cuma analogi, tak ada niat nak hina. Tapi kita semua tahu, ia cubaan untuk memperlekeh dan merendahkan wanita,” kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan, Khamis.
Beliau ingatkan, Islam tak pernah merendahkan wanita, malah menghargai mereka yang memikul tanggungjawab kepimpinan dengan amanah dan pengorbanan.
“Wanita bukan kelas kedua. Bukan simbol kelemahan. Mereka dah lama ada dalam kepimpinan, ini kesinambungan legasi yang wujud sejak zaman awal Islam,” tegasnya.
Nurul Izzah juga kesal dengan budaya politik yang jadikan penghinaan terhadap wanita sebagai bahan sindiran kononnya atas nama ‘teguran’, sedangkan ia sebenarnya penyalahgunaan agama.
“Sikap macam ni cuma suburkan budaya politik toksik yang suka memperlekeh dan mengeji. Ini bukan akhlak Islam,” katanya.