PETALING JAYA: Pelakon Raja Atiq baru-baru ini meluahkan rasa kecewa selepas menerima jawapan yang dianggap kurang sopan daripada seorang individu produksi ketika bertanya tentang peluang berlakon.
Teruskan MembacaMenerusi satu perkongsian di Threads, Raja Atiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah memuat naik tangkap layar perbualan tersebut. Dalam mesejnya, dia menyatakan hasrat untuk membintangi naskhah sama ada sebagai watak utama mahupun sampingan.
Namun, respons yang diterima agak mengejutkan apabila individu berkenaan membalas, “Awak siapa, nak supporting sementahlah nak jadi hero?”
Tersentuh dengan jawapan itu, Atiq menjelaskan niatnya hanyalah bertanya secara baik sekiranya ada watak yang sesuai ditawarkan.
“Kalau nak hina saya, sekurang-kurangnya jawab dulu salam. Maaf ganggu, saya cuma seorang pelakon yang bertanya khabar. Sebelum ni pun abang pernah call saya pasal episod, lepas tu senyap begitu sahaja,” katanya.
Atiq turut menambah, dia sudah memperkenalkan diri dengan sopan sebelum menghantar mesej, jadi agak pelik apabila tindakannya dianggap tidak beradab.
“Saya siap save nama sebagai ‘production manager’ untuk tutup identiti. Mula-mula saya mesej dengan salam dan tanya khabar. Saya cakap kalau ada watak hero atau supporting, boleh je WhatsApp saya. Sekarang tengah free dan sedia beri komitmen. Adakah itu dianggap biadab?” kongsinya lagi.
Perkongsian tersebut segera mencuri perhatian netizen. Ramai yang berpandangan jawapan individu produksi itu tidak profesional, malah ada yang bersimpati dengan pengalaman kurang manis yang dilalui pelakon muda berkenaan.