SHAH ALAM: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali lagi tersenarai antara penyumbang zakat perniagaan terbesar di Selangor menerusi syarikatnya, CTDK Holdings Sdn. Bhd.
Siti berkata, membayar zakat adalah tanggungjawab setiap Muslim dan amalan yang dilakukannya sejak menubuhkan syarikat.
Teruskan Membaca“Membayar zakat adalah wajib bagi yang beragama Islam. Memang saya pastikan setiap tahun bayar zakat perniagaan, sejak sebelum berkahwin lagi,” katanya.
Pelantun lagu Aku Bidadari Syurga Mu itu turut berkongsi perasaan tenang selepas menunaikan zakat.
“Setiap kali saya bayar zakat, hati rasa tenang. Kita kena ingat setiap wang yang diperoleh ada bahagian orang lain juga. Zakat mensucikan harta dan membantu melancarkan perniagaan supaya pendapatan lebih berlipat ganda,” katanya lagi.
Dalam majlis sama, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan menyaksikan penyerahan zakat oleh wakil D’Herbs Holdings Sdn. Bhd., Ammar Ahyan, kepada Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang. Anak sulung Aliff Syukri itu berkata, mereka bangga syarikat bapanya masih menjadi penyumbang zakat tertinggi dan berharap dapat terus membantu golongan memerlukan.
Selain CTDK Holdings dan D’Herbs Holding, antara penyumbang zakat perniagaan terbesar lain termasuk Bawal Sdn. Bhd. dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad.