KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor tanah air, Anuar Zain meluahkan rasa teruja dan berdebar apabila bakal membuat persembahan buat pertama kali di Stadium Merdeka, lokasi yang dianggap mempunyai nilai sejarah dan sentimental tinggi buat rakyat Malaysia.
Teruskan MembacaAnuar, 55, yang bakal menjadi antara barisan artis utama Konsert Healing Nite 2026 pada 24 Januari depan, mengakui peluang untuk beraksi di pentas ikonik itu merupakan satu penghormatan besar dalam perjalanan seninya.
“Saya tak pernah buat konsert di Stadium Merdeka sebelum ini, jadi rasa teruja itu memang lain macam. Ia bukan sekadar lokasi konsert, tapi satu tempat yang penuh sejarah dan makna untuk negara kita,” kata Anuar ketika ditemui pada sidang media di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur.
Menurut penyanyi lagu Lelaki Ini itu, walaupun beliau sudah berpengalaman beraksi di pentas besar termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil, seperti sewaktu temasya SUKMA 1998 yang dihadiri lebih 100,000 penonton, namun persembahan di Stadium Merdeka memberikan perasaan yang berbeza.
“Stadium Merdeka ini bukan sekadar tempat hiburan. Di sinilah laungan kemerdekaan negara bergema dulu. Jadi bila saya diberi peluang untuk berdiri dan menyanyi di sana, saya rasa sangat bersyukur dan bangga,” ujarnya lagi.
Menariknya, Anuar tidak akan berseorangan di pentas tersebut. Konsert berkenaan turut menampilkan nama-nama besar seperti Ella, Dayang Nurfaizah, Lyodra dan Kangen Band dari Indonesia. Gabungan ini dijangka menghidupkan malam penuh nostalgia dan emosi buat para peminat muzik di Malaysia.
Anuar mengakui kehadiran rakan-rakan seperjuangan dalam industri sedikit sebanyak membantu menenangkan debaran menjelang konsert itu.
“Walaupun dah lama menyanyi, rasa gementar tu tetap ada. Tapi dengan sokongan rakan artis dan pasukan produksi yang hebat, saya yakin ia akan jadi malam yang sangat bermakna,” katanya.
Konsert Healing Nite 2026 dianjurkan sebagai usaha meraikan seni dan budaya Nusantara, selain memperkukuh hubungan antara artis Malaysia dan Indonesia. Ia turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai inisiatif mempromosikan muzik tempatan di peringkat serantau.
Tiket konsert boleh didapati menerusi laman web Ticket2u dengan harga bermula RM190 hingga RM950, bergantung pada kategori tempat duduk.
Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam industri muzik, Anuar berkata beliau berharap konsert kali ini bukan sahaja menjadi persembahan terbaiknya, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam buat semua penonton.
“Saya nak setiap yang hadir nanti rasa tenang, terhibur dan bangga dengan karya anak tempatan. Ini bukan sekadar konsert, tapi satu perjalanan emosi dan penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong saya selama ini,” katanya menutup bicara.
















