KUALA LUMPUR: Kerajaan kini sedang meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi secara berfasa bagi barangan keperluan asas seperti gula, beras dan minyak masak, sebagai langkah susulan selepas kejayaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Teruskan MembacaTimbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata langkah ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, serta mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.
“Kerajaan sedang meneliti penyasaran semula subsidi dan bantuan bagi barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Isnin.
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan subsidi diesel dan BUDI95 membuktikan bahawa pendekatan bersasar mampu memastikan manfaat diterima oleh kumpulan sasar yang sebenar.
“Langkah ini bagi memastikan tiada ketirisan berlaku serta subsidi hanya dinikmati mereka yang benar-benar memerlukannya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, buat masa ini kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api agar berjalan lancar sebelum diperluaskan kepada sektor lain.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga memperkukuh pemantauan menerusi Ops Tiris dan Kita Gempur, selain memastikan barangan bersubsidi tersedia di setiap Program Jualan Rahmah MADANI.
“Kerajaan memperkukuh langkah penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan barangan bersubsidi sampai kepada golongan sasar,” katanya lagi.
Program Jualan Rahmah MADANI turut akan diperluas pada tahun 2025, dengan pelaksanaan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding sebelum ini yang dijalankan mengikut kawasan Parlimen.
Hui Ying turut memaklumkan bahawa manfaat BUDI95 kini merangkumi 17,900 nelayan berdaftar, 4,300 pemilik bot persendirian di Sabah, dan 1,400 di Sarawak, manakala 121,618 syarikat melibatkan 355,074 kenderaan telah diluluskan untuk menikmati subsidi diesel BUDI MADANI pada kadar RM2.15 seliter.
Langkah penyasaran subsidi ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap bantuan disalurkan dengan lebih adil, cekap dan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
















