PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menerima kunjungan hormat daripada Majlis Tertinggi Gerakan Belia 4B Malaysia, diketuai oleh Pengerusinya, Mohd Ridhwan Mohd Ali, dalam satu pertemuan yang membincangkan hala tuju masa depan belia sebagai penggerak utama kemajuan negara.
Teruskan MembacaPertemuan itu membuka ruang untuk perbincangan tentang kerjasama strategik antara Gerakan Belia 4B dan kerajaan, khususnya dalam memperkukuh agenda belia yang inklusif, progresif dan mampu bersaing di peringkat global.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menekankan pentingnya penyelarasan yang kuat antara kumpulan belia di pelbagai peringkat, bagi memastikan gerakan seperti Belia 4B terus kekal relevan dan berimpak.
“Saya menekankan kepentingan memperkukuh semangat serta penyelarasan antara Gerakan Belia 4B dengan kumpulan belia di peringkat akar umbi supaya gerakan ini terus segar dan berkesan,” katanya.
Beliau turut berpesan agar setiap perancangan masa depan Gerakan Belia 4B disusun selaras dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi berkaitan, supaya pelaksanaannya lebih menyeluruh dan menepati aspirasi generasi muda masa kini.
“Saya harap setiap inisiatif diselaraskan dengan KBS supaya usaha yang dibuat benar-benar beri manfaat dan selari dengan hasrat anak muda hari ini,” tambahnya.
Kunjungan ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus mendengar suara belia serta mengiktiraf mereka sebagai rakan penting dalam membina masa depan negara.
















