PUTRAJAYA: Kerajaan terus menzahirkan komitmen menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuh sektor pendidikan apabila mengumumkan pelbagai bantuan kewangan menerusi Amanat Tahun 2026.
Teruskan MembacaPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa Bantuan Awal Prasekolah dan Kembali ke Sekolah sebanyak RM150 akan diberikan kepada setiap pelajar, melibatkan murid prasekolah hingga Tingkatan Enam, dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM800 juta.
Pengumuman itu dibuat ketika Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, pada Isnin.
Menurut Anwar, bantuan tersebut akan disalurkan secara bersemuka di sekolah dan ibu bapa diwajibkan hadir bagi memastikan wang bantuan digunakan sepenuhnya untuk keperluan persekolahan anak-anak.
Katanya, langkah itu juga membuka ruang kepada ibu bapa untuk berinteraksi terus dengan pihak sekolah serta mendapatkan maklumat terkini mengenai prestasi dan perkembangan anak masing-masing.
Dalam pada itu, kerajaan turut menyalurkan peruntukan RM200 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Maahad Tahfiz, melibatkan lebih 300,000 pelajar di seluruh negara.
Dana berkenaan akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan sekolah, memperkemas kurikulum serta meningkatkan kualiti latihan guru, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Selain itu, peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) turut dinaikkan daripada RM50 juta kepada RM80 juta, manakala sekolah Tamil pula menerima peruntukan RM50 juta bagi membaiki kemudahan fizikal yang uzur dan daif.
Dalam amanat sama, Anwar turut mengumumkan beberapa lagi bantuan kewangan kepada rakyat bagi membantu meringankan kos sara hidup.
Antaranya termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan sehingga RM200 yang akan dikreditkan secara berperingkat ke MyKad penerima bermula 9 Januari 2026, diikuti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 sehingga RM500 bermula 20 Januari.
Kerajaan juga akan menyalurkan bantuan tunai RM100 secara one-off kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas pada 9 Februari 2026, bagi membantu persiapan menjelang Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan ini mencerminkan usaha kerajaan untuk memastikan bantuan dan manfaat pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
















