Konsert RadjaWali Live in Malaysia yang berlangsung di Idea Live Arena, Damansara bertukar kecoh selepas persembahan dihentikan secara mengejut tepat jam 12 tengah malam, sekali gus membuatkan ramai penonton meluahkan rasa kecewa.
Teruskan MembacaKetika suasana sedang hangat dan peminat teruja menantikan lagu-lagu seterusnya, pentas tiba-tiba gelap dan sistem bunyi dimatikan, menyebabkan penonton terpinga-pinga sebelum kedengaran sorakan tidak puas hati.
Susulan kejadian itu, pihak penganjur tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di sebalik tabir.
Menurut penganjur, mereka sebenarnya sudah berusaha berunding agar konsert dapat diteruskan melepasi tengah malam, malah sanggup menanggung risiko kerugian termasuk kehilangan deposit serta kemungkinan dikenakan denda. Namun, permintaan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada pemilik lokasi yang bertegas mahu konsert dihentikan tepat jam 12 malam.
Penganjur turut menjelaskan konsert bermula sedikit lewat, sekitar jam 8.50 malam, sebagai tanda menghormati azan Isyak, selain mengambil kira sensitiviti kawasan sekitar yang berhampiran dengan masjid dan kawasan kediaman.
Tambah mereka, walaupun permit hiburan indoor membenarkan acara berlangsung sehingga jam 1 pagi, tempoh penggunaan lokasi ditetapkan hanya sehingga 12 malam, dan sebarang lanjutan memerlukan kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan, sesuatu yang tidak sempat diperoleh pada malam kejadian.
Situasi itu nyata mengecewakan penonton yang rata-ratanya datang dari jauh dan menunggu kemuncak persembahan Wali Band, termasuk lagu-lagu popular yang tidak sempat dipersembahkan.
Di media sosial, isu ini pantas menjadi perbualan hangat dengan pelbagai reaksi netizen, ada yang menyalahkan pengurusan masa, ada juga yang mempertahankan penganjur kerana menghormati waktu solat dan peraturan lokasi.
Apa pun, kejadian ini menjadi pengajaran besar buat semua pihak bahawa isu permit, masa dan komunikasi antara penganjur serta pemilik venue perlu diperjelaskan sejak awal agar pengalaman penonton tidak terjejas.
















