Penyanyi nasyid terkenal, Nazrey Johani, meluahkan satu hasrat yang cukup menyentuh hati apabila mengakui masih menyimpan impian untuk mengadakan konsert bersama kumpulan Raihan suatu hari nanti.
Teruskan MembacaMenurut Nazrey, impian itu bukanlah sesuatu yang perlu dikejar dengan tergesa-gesa, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi. Baginya, jika Allah mengizinkan, dia mahu menunaikan impian itu sebelum menutup mata.
“Kalau Allah bagi peluang, memang teringin nak buat konsert bersama Raihan… sekurang-kurangnya sekali sebelum meninggal,” katanya secara jujur.
Nazrey tidak menafikan hubungan antara dirinya dan ahli Raihan kini tidak serapat dahulu sejak dia membawa haluan sendiri pada tahun 2006. Namun, kenangan bersama kumpulan nasyid ikonik itu masih kekal dalam ingatannya hingga kini.
Katanya, ramai peminat masih menyuarakan kerinduan untuk melihat mereka kembali berkongsi pentas, namun dia sedar bukan semua perkara boleh dirancang mengikut kehendak manusia.
“Bila orang tanya, saya pun hanya mampu jawab, kalau ada rezeki dan izin Allah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nazrey kini lebih fokus dengan perjalanan seninya bersama Inteam dan bakal membuat kemunculan istimewa dalam Konsert 25 Tahun Inteam, sekali gus menandakan perjalanannya yang masih panjang dalam dunia muzik nasyid.
Perkongsian Nazrey itu mengundang reaksi peminat yang rata-rata tersentuh dengan keikhlasan dan kerendahan hatinya, selain terus mendoakan agar impian tersebut suatu hari nanti menjadi kenyataan.
















