Menjelang ketibaan Syawal, industri muzik tanah air semakin rancak dengan kehadiran lagu-lagu raya baharu yang mencuri perhatian. Tahun ini, tiga lagu menarik perhatian peminat dengan melodi segar serta gandingan artis terkenal, memberikan nafas baharu kepada muzik raya.
Hael Husaini & Nadeera Zaini – Meriah Lain Macam
Hael Husaini dan Nadeera Zaini tampil dengan lagu Meriah Lain Macam, hasil ciptaan Hael sendiri bersama Iqie Hugh. Lagu ini mengisahkan gelagat pasangan suami isteri yang sibuk membuat persiapan pulang ke kampung, lengkap dengan suasana kekecohan dan kegembiraan. Dengan rentak moden serta lirik yang mudah dihafal, lagu ini berpotensi menjadi siulan ramai sepanjang musim perayaan.
Teruskan MembacaFazura & Syasya Rizal – Raya Pum Pang
Turut mencuri perhatian ialah kolaborasi Fazura dan Syasya Rizal menerusi lagu Raya Pum Pang, sebuah karya yang menggabungkan elemen ceria serta irama yang rancak. Berbeza daripada lagu-lagu raya klasik yang lebih bernostalgia, lagu ini hadir dengan konsep yang lebih segar dan santai. Dengan melodi yang bertenaga serta lirik yang menarik, Raya Pum Pang juga sesuai dijadikan latar muzik untuk video OOTD raya, menambahkan lagi kemeriahan suasana perayaan.
Fieya Julia & Barisan Artis – Jom Balik Kampung
Sementara itu, lagu Jom Balik Kampung, yang dilancarkan seminggu lalu, membangkitkan nostalgia kepulangan ke kampung halaman sempena lebaran. Dinyanyikan oleh Fieya Julia bersama Usop, Aiman, Luqman, Arul, Syazwan, Kyra serta Qadeejah (anak kepada Datuk Aliff Syukri), lagu ini membawa mesej kebersamaan dan kasih sayang yang pasti menyentuh hati pendengar.
Dengan kehadiran tiga lagu baharu yang segar dan menghiburkan, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka lebih meriah dan penuh warna-warni. Tidak mustahil salah satu daripadanya bakal menjadi lagu raya paling popular tahun ini dan trending di platform digital!