Isu keselamatan internet kini bukan lagi perkara teknikal semata-mata, sebaliknya sudah menjadi isu yang dekat dengan keluarga dan masyarakat. Seiring dengan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang bakal berlangsung pada Ahad, 8 Februari 2026 di Astaka Taman Tasik Titiwangsa.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini tampil dengan pendekatan lebih santai dan mesra rakyat, sesuai untuk ibu bapa, kanak-kanak, remaja serta komuniti setempat. Tidak terlalu formal, tidak sarat istilah teknikal, sebaliknya fokus kepada kesedaran dan perubahan sikap dalam penggunaan internet seharian.
Teruskan MembacaHakikatnya, kanak-kanak hari ini semakin awal terdedah kepada internet dan teknologi AI, manakala kes penipuan serta scam dalam talian pula semakin canggih. Ramai pengguna masih tidak sedar risiko harian yang wujud hanya melalui telefon pintar di tangan.
Atas sebab itu, HKI 2026 hadir dengan tema “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat”, membawa mesej jelas tentang penggunaan teknologi dan AI secara selamat, beretika serta bertanggungjawab.
Antara pengisian menarik yang disediakan termasuk sesi pocket talk dan perbincangan santai tanpa jargon teknikal, aktiviti interaktif untuk seisi keluarga, pameran keselamatan digital serta pelbagai program komuniti. Pendekatan yang digunakan juga mesra visual dan sesuai untuk dikongsi di media sosial, menjadikan mesej keselamatan internet lebih mudah sampai kepada orang ramai.
Lebih daripada sekadar acara rasmi, HKI 2026 dilihat sebagai platform nasional untuk membentuk budaya penggunaan internet yang lebih selamat, sedar dan bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai Hari Keselamatan Internet 2026, orang ramai boleh layari laman rasmi di https://mcmc.gov.my/ms/hki2026/home.
















