Berita yang ramai tunggu-tunggu akhirnya tiba! Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadual mengumumkan kadar dividen bagi tahun kewangan 2025 pada Sabtu ini.
Berdasarkan laporan sebelum ini, kadar dividen untuk Simpanan Konvensional dijangka berada antara 5.8 hingga 6.3 peratus, manakala Simpanan Shariah pula sekitar 5.5 hingga 6.0 peratus. Kalau betul dalam julat tu, memang boleh tarik nafas lega ramai pencarum.
Teruskan MembacaMenurut Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, jangkaan tersebut dibuat berdasarkan prestasi pelaburan KWSP yang agak kukuh bagi sembilan bulan pertama tahun lalu. Tapi katanya lagi, kadar sebenar masih bergantung kepada bagaimana keuntungan direalisasikan serta keperluan rizab jangka panjang dana persaraan itu.
Dalam masa sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, melihat kemungkinan dividen 2025 boleh cecah antara 6.3 hingga 6.5 peratus. Jika itu berlaku, memang antara kadar yang kompetitif dalam keadaan ekonomi semasa.
Untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2025, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion, naik berbanding RM57.57 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Malah bagi suku ketiga sahaja, jumlahnya mencecah RM25.07 bilion, meningkat 27 peratus berbanding tahun 2024.
Sebagai rekod, tahun kewangan 2024 menyaksikan KWSP mengumumkan dividen 6.30 peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.
Apa pun, Sabtu ini bakal jadi hari penting untuk lebih sejuta pencarum di seluruh negara. Tinggal nak tunggu angka rasmi diumumkan saja!











