Isu melibatkan ahli perniagaan Victor Chin makin panas apabila Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Ramanan tampil ‘buka cerita’ tentang apa yang didakwanya sebagai taktik untuk dapatkan suaka politik di United Kingdom.
Dalam sidang media hari ini, Ramanan mendakwa Chin yang kini berada di luar negara sengaja cipta pelbagai naratif bagi nampakkan dirinya sebagai mangsa. Antara yang dikaitkan termasuk tuduhan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR), ahli Parlimen serta Kerajaan MADANI.
Teruskan MembacaMenurutnya lagi, Chin juga dilihat cuba ‘petik’ nama beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Bank Negara Malaysia dan pihak polis sebagai sebahagian daripada dakwaan tersebut.
“Kalau betul tak buat salah, baliklah Malaysia. Jangan duduk luar negara dan lempar tuduhan sesuka hati,” katanya tegas.
Terdahulu, Chin menerusi dokumen setebal 40 muka surat mendakwa seorang ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta daripadanya. Malah, dia turut mendakwa sudah membayar RM9.5 juta pada Oktober tahun lalu dan beri tempoh hingga 30 Mac untuk wang itu dipulangkan sebelum nama individu terbabit didedahkan.
Bagaimanapun, Ramanan persoalkan motif di sebalik dakwaan tersebut, malah tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan cubaan menjatuhkan kerajaan.
Lebih ‘pedas’, beliau turut menolak gelaran “mafia korporat” terhadap Chin, sebaliknya menyifatkan individu itu sebagai “devil corporate” yang didakwa menyebabkan ramai orang kerugian akibat manipulasi saham.
Dalam masa sama, Ramanan turut ingatkan bahawa ramai individu lain yang berdepan kes sebelum ini tetap pulang ke Malaysia untuk hadapi siasatan dan perbicaraan.
“Undang-undang tetap ada. Kalau tak bersalah, balik dan pertahankan diri,” katanya lagi.
















