Rezeki tak pernah salah alamat. Itu yang ramai boleh simpulkan bila kisah pelakon veteran Norish Karman kembali jadi perhatian ramai baru-baru ini.
Semuanya bermula menerusi satu sesi live di TikTok bersama usahawan sensasi Aliff Syukri, yang pada awalnya nampak biasa, tapi akhirnya bertukar jadi momen yang cukup menyentuh hati netizen.
Teruskan MembacaDalam live tersebut, Norish terbuka berkongsi realiti kehidupannya sekarang. Walaupun masih menerima tawaran berlakon, kebanyakannya datang dengan syarat yang bertentangan dengan prinsip dirinya hari ini. Dia memilih untuk kekal dengan pendirian, walaupun itu bermakna perlu menolak peluang yang mungkin boleh bantu dari segi kewangan.
Apa yang lebih menyentuh hati, Norish turut berkongsi tentang keadaan kereta yang digunakan untuk urusan harian bersama anak-anak. Dengan keluarga yang semakin membesar, kereta lama yang digunakan kini bukan saja sempit, malah sering berdepan masalah teknikal seperti aircond rosak dan enjin yang tidak stabil.
Bayangkan dalam cuaca panas, terpaksa berhimpit tanpa aircond, memang bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi untuk anak-anak.
Disebabkan itu, Norish meluahkan harapan untuk memiliki kereta baharu yang lebih selesa dan sesuai dengan keperluan keluarganya.
Tak lama selepas itu, berlaku sesuatu yang tak dijangka. Menerusi sesi live yang sama, Aliff Syukri bersama isterinya berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM20,000 dalam tempoh kira-kira dua jam sahaja.
Jumlah tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban Norish, lebih-lebih lagi dalam usahanya membesarkan anak-anak termasuk anak angkat.
Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan mendoakan agar urusan Norish dipermudahkan. Ramai juga yang tersentuh dengan ketabahannya menghadapi ujian hidup tanpa mengorbankan prinsip diri.
Kadang-kadang, kisah seperti ini yang buat kita sedar, di sebalik kehidupan yang nampak tenang, ada perjuangan besar yang sedang dilalui dalam diam.
















