Pelakon Scha Alyahya mengakui rumah tangganya bersama suami, Awal Ashaari bukanlah sentiasa indah seperti yang dilihat ramai di media sosial.
Baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan ke-14, Scha berkata setiap hubungan pasti ada turun naik dan memerlukan kesabaran yang tinggi untuk dipertahankan.
Teruskan MembacaMenurutnya, kapsyen “still fighting” yang dimuat naik sebelum ini membawa maksud mereka masih berusaha mempertahankan hubungan walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang hidup bersama.
“Tiada hubungan yang sentiasa indah. Bila dah lama bersama, kita makin kenal pasangan dan setiap manusia juga berubah dari semasa ke semasa.
“Bagi saya, hubungan ini bukan mudah. Kena banyak sabar, faham pasangan dan sentiasa bertolak ansur,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem Bomoh di Menara Kuala Lumpur.
Scha turut mengakui kini dirinya tidak lagi meletakkan harapan terlalu tinggi dalam rumah tangga, sebaliknya lebih memilih untuk saling menghormati antara satu sama lain.
Malah, pelakon drama Awan Dania itu sempat berpesan agar orang ramai tidak menjadikan dirinya sebagai inspirasi hubungan sempurna.
“Jangan jadikan saya inspirasi sebab hubungan saya pun rapuh. Pada akhirnya, tiada benda yang mudah dalam perkahwinan. Banyak perkara yang perlu difikirkan bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Scha menjelaskan kehidupan keluarganya sama sahaja seperti pasangan lain dan tidak semua perkara perlu dikongsikan kepada umum.
Katanya, apa yang dipaparkan di media sosial hanyalah sebahagian kecil kehidupan mereka, manakala masalah peribadi pula lebih selesa disimpan sendiri demi menjaga batas dalam rumah tangga.
















