Malaysia berjaya tersenarai dalam kelompok negara paling dipercayai di dunia apabila menduduki tempat ketujuh daripada 28 negara menerusi Laporan Edelman Trust Barometer 2026.
Lebih menarik, Indeks Kepercayaan Malaysia turut menunjukkan peningkatan apabila mencatat 71 mata tahun ini berbanding 66 mata pada tahun lalu. Penilaian tersebut dibuat berdasarkan tahap keyakinan rakyat terhadap empat institusi utama iaitu sektor perniagaan, kerajaan, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Teruskan MembacaNamun begitu, laporan sama turut mengetengahkan satu trend yang semakin ketara iaitu fenomena “kepercayaan tertutup” (insular trust) dalam kalangan masyarakat.
Data menunjukkan kira-kira 65 peratus rakyat Malaysia semakin sukar untuk mempercayai individu yang mempunyai pandangan politik, latar belakang budaya serta sumber maklumat yang berbeza daripada mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Penasihat Kanan Edelman Asia Tenggara, Mazuin Zin berkata, tahap kepercayaan tinggi terhadap institusi di negara ini merupakan satu perkembangan positif.
Menurutnya, komunikasi yang jelas serta telus memainkan peranan penting bagi mengelakkan salah faham dan pembentukan persepsi yang tidak tepat dalam masyarakat.
Katanya, apabila maklumat yang diberikan terlalu sedikit, ruang untuk andaian menjadi lebih besar dan sebab itu komunikasi yang baik penting supaya rakyat memahami hala tuju serta matlamat yang ingin dicapai bersama.
Dalam masa sama, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail menegaskan bahawa penyiar awam perlu terus memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat yang sahih kepada orang ramai.
Beliau berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai, terutama dalam landskap komunikasi semasa yang semakin mencabar.
Laporan Edelman Trust Barometer Malaysia 2026 itu dilancarkan oleh Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Yong Soo Heong.
Kajian berkenaan dijalankan antara 23 Oktober hingga 18 November 2025, melibatkan 33,938 responden dari 28 negara, termasuk sekitar 1,200 responden bagi setiap negara.
















