Terkini

Tidak patuhi syarat pelesenan, 6 premis hiburan dan pusat urut diserbu – DBKL

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan Tindakan Operasi Bersepadu Tebah (Premis Hiburan atau Pusat Urut) di sekitar Jalan Loke Yew, Cheras dan Jalan Langkawi, Danau Kota, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Menerusi akaun rasmi Facebook DBKL, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dalam operasi bersepadu kali ini, DBKL bersama JAWI dan PDRM membuat pemeriksaan ke atas 6 buah premis hiburan dan pusat urut refleksologi.

“Dipercayai, premis hiburan dan pusat urut yang beroperasi tersebut telah melanggar syarat-syarat lesen yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di akaun rasmi Facebook DBKL.

Selain itu, hasil pemeriksaan semasa operasi bersepadu tersebut, DBKL telah membuat penutupan sebuah pusat urut, mengeluarkan tiga kompaun dibawah kesalahan beroperasi tanpa lesen, menggajikan pekerja warga asing dan membina sekatan bilik tanpa kelulusan.

“Dalam masa sama, DBKL telah membuat sitaan ke atas peralatan seperti modem wifi, kamera litar tertutup (CCTV), monitor, video recorder.

“Kesalahan diambil tindakan oleh DBKL dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

Manakala, pihak JAWI telah menahan enam lelaki tempatan (pelanggan pusat urut) dan mengeluarkan 20 Notis Perintah Hadir Kaunseling (pekerja tempatan di pusat hiburan) menerusi peraturan dibawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Difahamkan, operasi bersepadu berjalan lancar dengan kerjasama PDRM membantu kesempatan pegawai dan petugas.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top