Ikea Malaysia akhirnya tampil memberikan penjelasan selepas notis penutupan Restoran Sweden di Ikea Cheras tular di media sosial sejak semalam.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi media sosialnya, Ikea memaklumkan restoran berkenaan ditutup sementara bermula 17 Jun bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan serta memastikan premis itu terus mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan.
Teruskan MembacaMenurut Ikea Malaysia, langkah tersebut diambil bagi memastikan restoran beroperasi mengikut piawaian kebersihan tinggi yang ditetapkan syarikat dan pihak berkuasa kesihatan tempatan.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan. Restoran Sweden Ikea Cheras ditutup sementara mulai 17 Jun 2026 sementara kami menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Ikea menjelaskan bahawa kemudahan lain seperti Ikea Café dan Bistro masih beroperasi seperti biasa dan boleh dikunjungi pelanggan.
Sebelum ini, tular di media sosial sekeping notis yang didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mengarahkan restoran tersebut ditutup selama 14 hari bermula 17 Jun hingga 1 Julai atas faktor kebersihan.
Perkongsian notis itu oleh sebuah akaun Facebook telah mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang turut berkongsi gambar menunjukkan restoran berkenaan tidak menerima pelanggan.
Setakat ini, Ikea Malaysia masih belum mengulas secara khusus mengenai notis yang tular itu dan belum memaklumkan tempoh sebenar penutupan sementara restoran tersebut.
















