Peminat K-pop di Malaysia pasti teruja apabila kumpulan wanita popular BABYMONSTER bakal kembali mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada November ini.
Kumpulan yang dianggotai Ruka, Pharita, Asa, Ahyeon, Rami, Rora dan Chiquita itu dijadualkan mengadakan konsert pada 14 November 2026 di Unifi Arena sebagai sebahagian daripada jelajah dunia mereka, 2026–27 BABYMONSTER WORLD TOUR (CHOOM).
Teruskan MembacaIni merupakan kali kedua BABYMONSTER membuat persembahan di Malaysia selepas kejayaan konsert mereka menerusi jelajah HELLO MONSTERS tahun lalu yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat tempatan.
Jelajah dunia pertama mereka berjaya menarik kira-kira 300,000 penonton menerusi 32 persembahan di 20 bandar seluruh dunia. Di Kuala Lumpur sahaja, sekitar 16,000 peminat hadir menyaksikan persembahan mereka di Unifi Arena pada Jun tahun lalu.
YG Entertainment mengumumkan jelajah dunia kedua BABYMONSTER pada 16 Mac lalu. Siri konsert itu akan bermula di Jamsil Indoor Stadium, Seoul, Korea Selatan pada 26 Jun sebelum menjelajah ke lapan bandar utama di Asia termasuk Manila, Macau, Jakarta, Bangkok, Kuala Lumpur, Taipei, Singapura dan Hong Kong.
Selepas itu, mereka akan meneruskan perjalanan ke Auckland, Melbourne dan Sydney sebelum mengembangkan jelajah ke Amerika Utara, Amerika Selatan serta Eropah sepanjang tahun 2027.
BABYMONSTER kini dianggap antara kumpulan K-pop generasi kelima paling berpengaruh dengan sokongan peminat yang semakin berkembang di seluruh dunia.
Mereka telah merekodkan lebih dua bilion strim di Spotify dan melebihi tujuh bilion tontonan terkumpul di YouTube. Antara lagu yang menjadi kegemaran peminat termasuk SHEESH, LIKE THAT, DRIP dan CLIK CLAK.
Album mini ketiga mereka, CHOOM, yang dilancarkan pada 4 Mei lalu turut mencipta kejayaan apabila menduduki carta iTunes Worldwide Album serta berada di tangga pertama di 19 negara dan wilayah.
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang, jualan tiket umum untuk konsert di Kuala Lumpur akan dibuka pada 3 Julai bermula jam 11 pagi.















