PLKN 3.0 terus menunjukkan impak positif apabila berjaya mencapai semua petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pertahanan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, hasil kaji selidik dan kajian impak yang dijalankan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mendapati berlaku peningkatan ketara dalam enam elemen utama pembentukan modal insan peserta selepas mengikuti program tersebut.
Teruskan MembacaAntara pencapaian paling menonjol ialah pengetahuan ketenteraan yang meningkat daripada 56 peratus kepada 84 peratus. Selain itu, tahap patriotisme turut naik daripada 82 peratus kepada hampir 89 peratus.
Aspek disiplin dan transformasi diri pula menunjukkan peningkatan memberangsangkan daripada 77.36 peratus kepada 92.6 peratus, manakala ketahanan mental meningkat daripada 71 peratus kepada 83 peratus.
Menurut Adly, elemen perpaduan dan semangat kesukarelawanan juga mencatat perkembangan positif sepanjang pelaksanaan program itu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat pada Isnin, sambil memaklumkan bahawa setiap pelatih perlu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus pencapaian dalam keenam-enam elemen utama yang ditetapkan kementerian.















