Terkini

KDN laksana penambahbaikan di pintu masuk negara

BEBERAPA perubahan akan dilaksana pintu masuk negara bagi memastikan urusan komunikasi melibatkan pengembara luar berjalan lancar. 

Langkah dibuat bagi mudahkan proses 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kabinet bersetuju supaya langkah itu dilaksana bagi memastikan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini dapat dielakkan. 

Antara yang bakal dilaksana adalah mengadakan kaunter bantuan khas dinamakan ‘Help Desk’ dalam masa terdekat dengan menempatkan pegawai yang boleh berkomunikasi dengan bahasa asing antaranya Mandarin, Inggeris, Arab dan Hindi.

Menurutnya, langkah itu untuk memberi penambahbaikan kepada pengembara untuk memahami proses temu bual beberapa perkara asas yang menjadi amalan biasa di mana-mana pintu masuk negara asing.

“Jadi kita juga setuju dengan Malaysia Airport Berhad (MAB) untuk naikkan lebih banyak papan tanda di KLIA.

“Supaya pengembara ini tahu perkara yang akan ditanya adalah amalan asas,” katanya dalam Sidang Media Khas pada Rabu.

Saifuddin berkata, beberapa soalan asas seperti ada tiket balik atau tidak, wang yang mencukupi dan alamat penginapan antara perkara asas yang ditanya.

“Sama seperti kita ke luar negara.. ini bagi mengelakkan pengembara menggunakan pas sosial untuk bekerja,” katanya.

Sementara itu tambahnya, keputusan sama ada pengembara yang masuk perlu dinafikan kemasukan kini akan dibuat oleh pegawai kanan Jabatan Imigresen Gred 41 dan ke atas.

Sebelum ini, kuasa untuk membuat keputusan sedemikian dipegang oleh pegawai Gred 29 yang ditempatkan di lapangan terbang dan pintu masuk lain.

Pelbagai

Scroll to Top