Mahkamah Rayuan pada Khamis mengekalkan hukuman mati terhadap seorang buruh kerana membunuh tiga kanak-kanak yang juga merupakan adik-beradik, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim terdiri Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak rayuan Shahrul Pitri Jusoh terhadap sabitan dan hukuman mati.
Teruskan MembacaDalam keputusan mahkamah, Hakim Vazeer berkata pembelaan Shahrul Pitri terhadap kehilangan akal dari segi undang-undang telah disangkal oleh pakar perunding psikiatri forensik yang memberi keterangan bahawa tertuduh waras semasa melakukan perbuatan tersebut.
Mengenai hukuman mati, Hakim Vazeer menolak permintaan Shahrul Pitri supaya hukuman mati terhadapnya digantikan dengan hukuman penjara.
Menurutnya, Mahkamah Rayuan mempunyai budi bicara untuk mengetepikan hukuman mati terhadap Shahrul Pitri, 40, dan menggantikan dengan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun berdasarkan pindaan terbaharu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada asas munasabah untuk mahkamah menggunakan budi bicaranya berbuat demikian.
Mengikut pertuduhan, Shahrul Pitri didakwa atas tiga tuduhan berasingan membunuh Nur Zia Fasihah Mohd. Fadzil, 2, serta dua abangnya, Muhammad Firash Zafrill, 3, dan Muhammad Faqih Zahirulhaq, 5.
Perbuatan itu dilakukan di rumah projek bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara pukul 2.30 dan 2.40 petang 17 Mei 2018 iaitu pada hari pertama umat Islam berpuasa ketika itu.