Dua pesakit, seorang pembantu pegawai perubatan serta pemandu ambulans selamat, selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta berhampiran Masjid Sri Sendayan dekat Seremban, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi dipercayai ketika ambulans itu sedang melalui lampu isyarat merah.
Teruskan Membaca“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika ambulans dipandu seorang lelaki berumur 43 tahun bersama seorang pembantu pegawai perubatan membawa dua pesakit lelaki berusia 18 dan 66 tahun.
“Ambulans sedang bergerak dari Sungai Pelik, Sepang, Selangor menuju ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini,” katanya tadi.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, ambulans dipandu dengan menyalakan lampu pandu arah kecemasan dan siren dikatakan meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat merah di laluannya.
“Kemudian kereta model Volvo dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun dikatakan melanggar bahagian sisi kanan ambulans hingga menyebabkannya terbalik.
“Akibat kemalangan itu, semua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke HTJ untuk menerima rawatan. Kejadian ini disiasat mengikut Rule 17 LN 167/59. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.