Walau cedera akibat terjatuh dari tingkat empat bangunan, tidak menghalang seorang pegawai polis mengejar dan memberkas seorang suspek di Jalan Sri Sarawak 14, Taman Sri Andalas, Klang.
Inspektor Mohammad Azrin Yazid, 32 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan kini disahkan stabil selepas menjalani pembedahan kaki ekoran kemalangan itu.
Teruskan MembacaKetua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Inspektor Mohammad Azrin Yazid terjatuh dari tingkat empat ketika mengetuai serbuan di sebuah rumah di sini jam 5.30 petang.
Menurutnya, Mohammad Azrin cuba masuk ke dalam rumah terbabit menerusi bumbung berikutan pintu dan pagar premis yang berkunci sebelum terserempak dengan suspek yang cuba melarikan diri.
“Pegawai berkenaan memanjat ke bumbung bahagian hadapan dari tingkat tiga dan mendapati suspek sedang berlari ke bumbung rumah bersebelahan.
“Semasa mengejar suspek, batang paip yang dipegang Mohammad Azrin patah menyebabkan dia terjatuh dari tingkat empat ke tingkat dua pada ketinggian enam meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hussein, tidak menyedari berlaku kecederaan, pegawai kanannya itu terus mengejar suspek sehingga berjaya ditahan di koridor kedai tersebut.
“Pemeriksaan terhadap suspek mendapati terdapat dua paket plastik berisi syabu seberat 100 gram (g) di dalam beg milik suspek.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya” katanya.
Sejurus itu, Azrin merasakan sakit pada kaki, tangan, leher dan bahagian badan telah dibawa ke Klinik Azizan untuk pemeriksaan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Pantai, Klang.
“Ekoran kecederaan itu, Azrin ditahan di unit kecemasan Pantai Hospital, Klang dan kini disahkan stabil setelah selamat menjalani pembedahan pada kaki,” katanya.