Terkini

Kedi wanita dakwa dicabul dua pegawai tentera

Seorang kedi wanita berusia 21 tahun mendakwa dicabul dua pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel sewaktu bermain golf di sebuah kelab di Alor Gajah. Melaka di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata, polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut selepas mangsa membuat laporan polis pada hari kejadian.

“Dalam laporan yang dibuat, mangsa mendakwa dua pegawai tentera dari sebuah kem di Negeri Sembilan berusia 51 dan 52 tahun telah mencabulnya sewaktu sedang bekerja di kelab golf berkenaan.

“Polis membuka kertas siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut dibuat ke atas kedua-dua pegawai kanan tentera itu,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Zainol berkata, kedua-dua pegawai kanan tentera itu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubungan kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu.

“Kedua-dua suspek yang berkhidmat di sebuah kem tentera di Negeri Sembilan telah dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan.

“Polis turut menerima dua lagi laporan iaitu satu dibuat suspek berusia 51 tahun menafikan berlakunya kejadian berkenaan manakala satu lagi laporan dibuat rakan sekerja mangsa wanita berusia 35 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Tambahnya dalam laporan itu, wanita berkenaan menyatakan dia tidak melihat kejadian berkenaan namun sehingga kini pihak polis masih meneruskan siasatan.

Pelbagai

Scroll to Top