Terkini

Langgar motosikal dinaiki empat beranak, pemandu trak pikap ditahan

Seorang pemandu pacuan empat roda yang memandu melulu sebelum melanggar empat sekeluarga menunggang motosikal di Lebuh Raya Besraya berhampiran persimpangan Puchong, telah ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian yang berlaku semalam telah menyebabkan penunggang motosikal dan anaknya cedera.

Katanya, sebelum ini pihaknya terkesan rakaman video papan pemuka kenderaan mengenai kejadian terbabit yang tular di media sosial.

“Kemalangan membabitkan motosikal ditunggang suami isteri berusia 30 tahun bersama anak mereka berumur lima dan tujuh tahun, manakala Ford Ranger dipandu lelaki berusia 21 tahun.

“Dalam insiden itu, penunggang motosikal dan anaknya cedera ringan, manakala individu lain tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kedua-dua pihak membuat laporan polis mengenai kemalangan dan susulan itu pihaknya menahan pemandu Ford Ranger untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20719999 bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE.

Pelbagai

Scroll to Top