SEORANG lelaki ditahan gara-gara dipercayai merakam video tidak sopan menggunakan telefon bimbit dari bawah pentas semasa satu acara di dalam sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil, Cheras baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim berkata, suspek telah ditangkap sejurus pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kejadian itu.
Teruskan Membaca“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9.00 malam, kami menerima aduan daripada seorang wanita tempatan bersama orang awam.
“Seorang suspek telah membuat rakaman video tidak sopan menggunakan telefon bimbit dari bawah pentas. Seterusnya, rakan pengadu bersama orang awam berjaya mengesan dan menangkap suspek yang masih berada di dalam kawasan pasaraya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, suspek yang berumur 33 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Suspek yang berjaya ditangkap oleh rakan pengadu dan orang ramai diserahkan kepada Pencegahan Jenayah Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur lebih kurang pukul 11.15 malam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 509, Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995. Suspek direman selama tiga hari utuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada sikap kompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang negara.
Sebarang maklumat berkenaan kejadian itu, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051 atau mana-mana Balai Polis berdekatan.
Baca juga: