PIHAK Yayasan Nurjiwa menghormati dan mengambil maklum teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Salim Wan Mohd Noor bagi menunda tarikh konsert penyanyi tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza ke tarikh yang lain.
Akan tetapi, Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza tersebut tetap diadakan seperti yang dijadualkan pada 9 Mac depan dan tidak akan ditunda.
Teruskan MembacaSatu kenyataan telah dikeluarkan dan selaku Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memaklumkan penganjuran konsert tersebut bertujuan untuk berkongsi rezeki dan dapat mengurangkan beban penderitaan sesetengah golongan termasuk rakyat Palestin.
“Yayasan Nurjiwa secara khususnya dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran Sahibus Samahah Datuk Seri Mufti.
“Keprihatinan serta pandangan Datuk Seri amat-amat kami hormati dan hargainya,” katanya dalam satu hantaran kenyataan di Instagram Yayasan Nurjiwa.
Justeru itu, kesempatan dan ruang diberikan kepada Yayasan Nurjiwa memberi maklum bakas tentang teguran agar konsert itu ditunda bagi menghormati ketibaan bulan penuh kemuliaan Ramadan al-Mubarak yang dijangka pada 12 Mac depan.
“Sejak mula diberikan tarikh penganjuran konsert oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional, kami di Yayasan Nurjiwa dan pihak Siti Nurhaliza sedia maklum tarik 9 Mac 2023 menghampiri 1 Ramadan.
“Kami di Yayasan Nurjiwa juga telah diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac sahaja tarikh yang kosong untuk sepanjang 2024 telah ditawarkan kepada kami.
“Untuk makluman semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan bersama perbadanan berkenaan sejak awal tahun 2023 lagi, namun tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan dan memohon penangguhan dengan tarikh lain,” katanya.
Namun, setelah memahami matlamat dan objektif utama kami, maka, kami mencapai keputusan secara konsesus untuk meneruskan konsert tersebut.
“Yayasan Nurjiwa dan Datuk Siti Nurhaliza sering menyebut tujuan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza adalah untuk mengutip dana bagi menampung 5 kluster kerja-kerja kebajikan.
“5 kluster tersebut adalah kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin. Kelima-lima kluster berkenaan menjadi keutamaan bagi kami dan memerlukan dana yang mencukupi,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Yayasan Nurjiwa ingin menjelaskan bahawa jika sekiranya konsert itu ditunda, ia akan memberikan implikasi yang besar pada banyak pihak terutamanya pihak pengurusan Perbadanan Stadium Nasional serta pihak produksi.
Bahkan, apa yang digusarkan sekiranya penundaan konsert diteruskan, maka dana yang sewajarnya tidak disalurkan dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.
“Kami tidak mampu menunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara-saudara kita di Palestin. Komitmen kami kepada mangsa perang Palestin perlu diteruskan sejak kami mulakannya pada Oktober lalu.
“Terlewat sehari dua, boleh mengundang malapetaka lain buat mereka. Oleh itu, kami berpendapat, ada baiknya konsert ini diteruskan demi mencari dana,” kata Khalid Mohamad Jiwa.
Kenyataan itu diakhiri dengan penghargaan kepada semua pihak dengan harapan terjawab segala persoalan dan kegusaran yang berkaitan.
Sebelum ini, Siti pernah berkata, beliau dan seluruh tenaga kerjanya telah membuat keputusan bahawa tiada penambahan hari buat konsertnya itu semasa pelancaran sidang media pada 8 Januari lalu.
Untuk info, Siti Nurhaliza akan mengadakan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang bertempat di Axiata ArenaBukit Jalil pada 9 Mac depan. — KL VIRAL
Baca juga: