Terkini

Malaysia tundukkan Jepun selepas lapan tahun, mara ke separuh akhir Piala Thomas

PASANGAN beregu lelaki nombor dua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berjaya membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir Piala Thomas, pada Khamis.

Pasangan ranking ke-15 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi pasangan Jepun yang berada di kedudukan ke-16 dunia, Akira Koga-Taichi Saito dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-15, 21-12 pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia meraih mata ketiga untuk menyingkirkan Jepun 3-1.

Biarpun di set pertama naib juara Asia itu tewas, namun ia berjaya memberi saingan sengit dan menyamakan kedudukan beberapa kali.

Permainan pasangan itu tampil lebih kemas di set kedua apabila mencatat kemenangan 21-15 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Menerusi set penentuan, Izzuddin-Sze Fei berjaya menamatkan permainan dengan kemenangan 21-12, sekali gus membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir.

Terdahulu, mata pertama skuad negara disumbangkan perseorangan pertama Lee Zii Jia yang menewaskan Kenta Nishimoto sebelum Jepun kembali menyamakan kedudukan menerusi beregu utama, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang mengatasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Perseorangan kedua, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi kemenangan ke atas Koki Watanabe sebelum Izzuddin-Sze Fei menyumbang mata kemenangan.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau lapan tahun untuk mara ke separuh akhir sejak kali terakhir pada edisi 2016 di Kunshan, China.

Kali terakhir skuad negara menjuarai Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Di separuh akhir, Malaysia akan bertemu China yang menewaskan India 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top