PELAKON, Izara Aishah menerima kritikan selepas tersilap menggunakan terma ‘Jakun’ dan dituduh bersikap rasis terhadap masyarakat Rohingya dalam satu hantarannya di media sosial.
Izara bagaimanapun menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa. Menurutnya, penggunaan perkataan ‘Jakun’ hanyalah sebagai ekspresi dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak tertentu.
Teruskan MembacaKritikan terhadap Izara bermula apabila dia membalas sebuah hantaran di platform X, yang menyebut tentang isu Rohingya yang didakwa tidak menerima perhatian sama seperti isu Palestin.
Dalam responnya, Izara berkata satu dunia mengadu tentang masalah Rohingya dan sikap mereka yang tidak menghargai telah mencetuskan kekacauan di negara sendiri maka jangan bandingkan mereka (Rohingya) dengan Palestin.
Namun, yang lebih menarik perhatian adalah penggunaan perkataan ‘Jakun’ oleh Izara dalam satu lagi hantaran yang dibuatnya.
Perkataan itu digunakan untuk menggambarkan keterujaan seseorang terhadap perkara kecil, namun ramai yang menegur tindakan Izara tersebut kerana ‘Jakun’ sebenarnya merujuk kepada salah satu suku kaum Orang Asli di Malaysia.
Pelakon itu kemudian tampil memberi penjelasan, menyatakan bahawa dia menggunakan perkataan tersebut hanya sebagai ekspresi dan tidak bermaksud untuk menghina mana-mana pihak.
Walaupun begitu, dia bersedia untuk berhenti menggunakan terma tersebut jika ia menimbulkan salah faham.
Dalam pada itu, terdapat juga segelintir warganet yang menyokong Izara dengan mengatakan bahawa perkataan ‘Jakun’ sering digunakan secara meluas di pelbagai kawasan sebagai istilah umum dan tidak semestinya merujuk kepada suku kaum tersebut.
“Aik, aku orang Johor elok je dengar orang sebut ‘Jakun’, tapi Izara cakap kena kecam pula,” komen Amirajaseman.
“Dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), jakun tu maknanya pelik,” kata Realshahr.
“Jakun tu kalau aku yang orang Pahang ni maknanya macam tak pernah nampak benda tu, contohnya macam kita pergi KL (Kuala Lumpur) lepas tu beria tengok KLCC pertama kali,” kata Mohd_Rul11.
Menyedari kritikan yang terus datang, Izara turut berkongsi maksud perkataan ‘Jakun’ menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi 2020, sambil menegaskan bahawa maksud sebenar dalam hantarannya adalah untuk menyampaikan ekspresi, bukan untuk mencemuh mana-mana kaum atau etnik.
Meskipun Izara telah memberikan penjelasan mengenai penggunaan perkataan ‘Jakun’, isu tersebut mengingatkan kita tentang pentingnya sensitiviti dalam berkomunikasi, terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti Malaysia.
Adalah wajar bagi kita untuk sentiasa berhati-hati dan peka terhadap sebarang ungkapan yang digunakan, agar tidak menimbulkan salah faham atau mengguris perasaan mana-mana pihak.
Dalam dunia yang semakin terhubung, setiap kata yang diucapkan atau ditulis boleh memberi impak yang besar, dan oleh itu, kesedaran dan rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya adalah kunci dalam menjaga keharmonian. — KL Viral
Baca juga: