ASTRO kini kembali memperkenalkan bakat-bakat generasi baharu dalam ‘The Chosen One 2024’ yang akan bermula pada 20 September depan, setiap hari Jumaat, pukul 9 Malam di Astro Ceria (saluran 611).
Program ini turut akan bersiaran secara serentak di Astro Ria (saluran 104).
Teruskan MembacaKejayaan musim pertamanya telah mencipta fenomena setelah menjangkau lebih dari 3.5 juta penonton di televisyen.
Amir Sisi, seorang kanak-kanak berumur 12 tahun dari perkampungan orang asli di Gerik, Perak, telah dinobatkan juara musim lepas dan menjadi tular dengan lebih 235 juta tontonan di TikTok.
Vokal hebatnya mendapat pujian termasuk daripada Timbalan Menteri Pendidikan di Parlimen Malaysia. Kini, Amir adalah bakat eksklusif Rocketfuel dan telah melancarkan single pertamanya berjudul Ayah Ibu.
Menurut Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, selepas mendapat sambutan yang menggalakkan pada musim pertama, dan kini kembali dengan musim kedua yang lebih berprestij, hebat dan kompetitif daripada sebelumnya.
“Kami sedar bahawa terdapat ramai kanak-kanak yang berbakat dalam nyanyian. Lantas, kami cipta pentas ini untuk mereka bersinar.
“Juara musim pertama, Amir Sisi membuktikan bahawa mempunyai latar belakang yang berbeza tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada mencapai impian mereka untuk bersinar di atas pentas, dan kami berharap mesej ini dapat disampaikan kepada seluruh Malaysia melalui program nyanyian ini, tidak kira muda atau pun tua.
“Kami berharap para penonton terpukau dengan persembahan mereka bersama dengan selebriti-selebriti popular ini. Bukan mudah untuk melihat gabungan antara mereka, dan kami percaya peserta-peserta ini akan terus cemerlang dalam industri ini dengan bimbingan selebriti-selebriti atau pun coach masing-masing,” katanya.
Putri juga berharap agar musim terbaharu ini akan sekali lagi memperkenalkan bakat generasi baharu yang mampu menawan hiburan Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sejajar dengan matlamat Astro, program ini bertujuan untuk memperkenalkan bakat-bakat generasi baharu yang mampu melonjakkan industri hiburan Malaysia.
Seramai 16 peserta berumur daripada 11 tahun hingga 17 tahun dari seluruh Malaysia dipilih daripada uji bakat untuk berentap dalam ‘The Chosen One 2024’, termasuk juara pertandingan nyanyian peringkat kebangsaan, bakat yang pernah tular di media sosial, serta wajah-wajah baharu yang tidak mempunyai pengalaman bertanding dalam mana-mana pertandingan sebelum ini.
Musim kedua ini mengekalkan figura legenda rock Malaysia, Dato’ Awie sebagai juri tetap, bersama dengan penyanyi bersuara ‘emas’ yang telah menggenggam banyak anugerah, Jaclyn Victor. Setiap episod turut diterajui oleh gandingan hos baharu, pelawak dan pelakon popular, Jihan Muse sebagai pengacara program, serta personaliti radio ERA, Haziq Hussni.
Program ini turut membariskan penyanyi-penyanyi ternama Malaysia sebagai coach dan pasangan setiap peserta termasuk Tomok, Aepul Roza, Amir Jahari, Sufian Suhaimi, Suki Low, Adira Suhaimi, Wany Hasrita dan kembar berbakat Firdaus Rahmat & Fahimi Rahmat.
Baca juga: