SATU demi satu pembongkaran terhadap organisasi Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) telah dibuat dan kini tular pula penderaan dan penganiayaan yang dilakukan terhadap pelajar di sekolah tahfiz di bawah organisasi tersebut.
Video tular berdurasi 1 minit 55 saat tersebut memaparkan beberapa pelajar lelaki di sekolah tersebut dirotan pada bahagian tangan mereka oleh seorang individu lelaki dipercayai guru di sana.
Teruskan MembacaLebih menyedihkan, rintihan pelajar di situ tidak diendahkan oleh guru yang merotan pelajar berkenaan malah, menyatakan sekiranya pelajar tersebut menarik tangannya daripada dirotan, bilangan sebatan akan ditambah.
Kesemua pelajar yang dirotan tersebut menerima kira-kira lima hingga 10 sebatan, namun motif mereka dirotan tidak diketahui menerusi video tersebut.
Meskipun tidak diketahui motif mereka dirotan, tidak sepatutnya seorang insan bergelar pendidik untuk melakukan kekerasan sehingga tahap begitu kepada kanak-kanak tidak kira apa jua kesalahan mereka.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa berang terhadap perbuatan guru dan organisasi tersebut kerana ia dianggap seperti penganiayaan terhadap kanak-kanak.
“Apa jadah sampai 10 sebatan. Kesalahan apa yang budak sekolah rendah buat sampai kena macam ni,” komen NurHakimz.
“Libasan dia agak menakutkan untuk kita yang dewasa. Anak kecil ni kulit lebih nipis dan deria rasa lebih sensitif. Melihat dia tak menangis pun saya dah rasa sedih. Harap anak-anak kecil ni dijaga elok selepas ini,” kata Drshafizmd.
“10 sebatan non-stop weh. Ni dah niat mendera, bukan mengajar,” ujar PendetaSang.
“Tiada belas kasihan langsung, dah sakit macam tu pun pukul lagi,” kata Acik567.
“Ya Allah jahatnya. Ustaz aku dulu rotan sekali je tau, tak pernah lebih! Sekali pun dah sakit, ni dah berapa kali ya Allah. Kesian anak-anak ni,” komen Winterkimtae95.
Insiden tular begini seharusnya membuka mata masyarakat dan pihak berkuasa untuk segera bertindak.
Penganiayaan terhadap kanak-kanak, lebih-lebih lagi di institusi yang sepatutnya mendidik dengan kasih sayang, tidak boleh diterima sama sekali kerana ia hanya akan menanam trauma dan membantutkan perkembangan emosi mereka.
Dalam dunia pendidikan, pendekatan yang penuh hikmah dan empati perlu diutamakan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga dari segi sahsiah dan akhlak. — KL Viral
Baca juga: