PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa serangan tentera Israel ke atas Iran bukan sekadar tindakan ganas biasa, tapi satu strategi licik untuk menggagalkan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran!
Dalam kenyataan tegasnya hari ini, Anwar menyifatkan serangan tersebut sebagai “tindakan cuai, berbahaya dan tidak bertanggungjawab” yang boleh mencetuskan ketegangan lebih besar di Asia Barat.
Teruskan Membaca“Serangan ini bukan kebetulan. Ia berlaku ketika Amerika dan Iran sedang buka ruang rundingan.
“Jelas Israel cuba sabotaj proses damai,” katanya.
Serangan itu turut mensasarkan pemimpin kanan Iran, sekali gus menaikkan suhu ketegangan serantau pada saat dunia sedang fokus kepada kekejaman Israel di Gaza dan tekanan politik terhadap Benjamin Netanyahu.
“Jangan lihat serangan ini sebagai insiden terpencil. Ini semua berlaku waktu Israel diserang kritikan dari seluruh dunia kerana kekejaman di Gaza,” tambah Anwar.
Malaysia gesa semua negara berpengaruh terutama sekutu Israel untuk hentikan sebarang bentuk pencerobohan dan tekanan harus diberi kepada rejim Zionis.
“Sekarang bukan masa untuk berdiam diri. Komuniti antarabangsa mesti bangkit, jangan biar rundingan damai dibunuh dengan bom dan peluru,” kata Anwar lagi.
Dunia sedang perhatikan. Jika dibiarkan, serangan ini bukan saja menggagalkan diplomasi tapi juga bakal membakar seluruh rantau dengan konflik baru.