KUALA LUMPUR, 23 Jun 2025 – Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng mencipta sejarah apabila menjadi individu berbangsa Cina pertama yang dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Majlis pemakaian pangkat disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dalam satu istiadat rasmi di Wisma Pertahanan, semalam.
Teruskan MembacaAnak kelahiran Melaka itu memulakan kerjaya tenteranya pada tahun 1986 sebagai Pegawai Kadet dalam Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25) di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).
Berpengalaman luas dalam ketenteraan, Johnny merupakan graduan Kolej Komando dan Kakitangan Tentera Australia, dan turut memiliki Ijazah Sarjana dari Universiti Canberra, Australia serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga dikenali dengan keupayaan menguasai bahasa Korea, hasil pengalaman mengikuti latihan ketenteraan di Korea Selatan dan Sepanyol.
Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau termasuk:
- Ketua Jurulatih, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA)
- Panglima 31 Briged Infantri
- Inspektor Jeneral Tentera Darat
- Ketua Staf, Markas Pemerintahan Medan Barat
Menurut kenyataan rasmi ATM, pelantikan dan kenaikan pangkat tersebut menjadi bukti bahawa peluang dalam ketenteraan terbuka kepada semua tanpa mengira kaum, selagi berasaskan kecemerlangan perkhidmatan.
“Ini juga diharapkan dapat menarik minat lebih ramai daripada pelbagai latar belakang kaum untuk menyertai kerjaya keramat ini. ATM seharusnya menjadi contoh terbaik kepada konsep ‘Unity in Diversity’, dan platform kukuh dalam memperkukuh perpaduan nasional,” menurut kenyataan itu.
Kenaikan pangkat Johnny Lim bukan sahaja satu pencapaian peribadi, tetapi juga simbolik kepada keterangkuman dan kemajuan dalam struktur ATM masa kini.