“Anak saya beratur selama tiga jam dan hanya diberikan sekeping roti. Kami makan sehari sekali, ini juga bagi mengelakkan penggunaan air yang banyak. Beginilah keadaan penduduk di Gaza keseluruhannya,” kata Dr Ziad Shehada, Pengurus MyCARE Gaza.
Menurut beliau, masuk hari kesembilan pertempuran antara Hamas dan pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel menyaksikan penduduk terpaksa beratur sejauh satu kilometer untuk mendapatkan makanan, selain meminum air kotor.
Teruskan MembacaBeliau dan keluarga terpaksa minum bekalan air kotor kerana tidak mempunyai pilihan. Anak lelakinya menghadapi masalah buah pinggang dan memerlukan bekalan air bersih.
Katanya, keadaan di Gaza semakin meruncing berikutan sekatan bagi mendapatkan bekalan air bersih dan makanan. Sebuah rumah kini menempatkan 60 hingga 70 orang dan boleh mencecah 100 orang kerana mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk berlindung.
Terkini, MyCARE telah menyalurkan bantuan Fasa Pertama bernilai RM236,650 merangkumi bantuan perubatan dan pek makanan.
Bantuan perubatan diedarkan di Hospital Al-Syifaa Gaza dengan kira-kira 800 pesakit menerima bantuan perubatan seperti ubat-ubatan, kerusi roda, lampin bayi dan dewasa serta kit pertolongan cemas.
Selain itu, sebanyak 1,000 pek makanan telah diedarkan di kawasan sekolah di Gaza yang menempatkan penduduk menghadapi kemusnahan tempat tinggal dan berlindung diri. Bantuan setakat ini diedarkan di Beit Lahiya di utara Gaza.