GENEVA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tampil lantang di pentas antarabangsa apabila menegaskan bahawa tiada syarikat teknologi, walau sebesar mana sekalipun, boleh mengatasi undang-undang sesebuah negara berdaulat.
Beliau menyampaikan mesej tegas ini dalam sesi ‘Leader’s Talk’ bertajuk “Fokus Menuju Dunia Terhubung yang Lebih Selamat” sempena acara WSIS+20 High-Level Event di Geneva, Switzerland.
“Setiap negara berhak menggubal dan menegakkan undang-undang sendiri demi keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya penuh keyakinan.
Dalam sesi tersebut, Fahmi turut menzahirkan rasa bangga atas peranan aktif Malaysia dalam memperkukuh keselamatan digital, terutama di peringkat ASEAN.
“Malaysia berbangga memainkan peranan utama dalam merangka Garis Panduan ASEAN bagi Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, langkah ini merupakan satu pencapaian besar untuk mewujudkan ruang digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan menghormati prinsip pemusatan ASEAN.
Penyertaan Malaysia dalam forum berprestij ini membuktikan komitmen negara untuk terus memperjuangkan ekosistem digital yang beretika dan berpaksikan kedaulatan undang-undang.
Malaysia bukan sahaja pengguna teknologi, tetapi peneraju suara digital serantau.